SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Rabu, 28 Oktober 2015

RESTU ILMU UNTUK CALON STPM PENGGAL 3 DAN PENGGAL 1

JAWATANKUASA Projek Kecemerlangan STPM mengadakan Majlis Restu Ilmu STPM pada pagi ini di Bilik Mesyuarat Gemilang, SMk Sultan Omar.


Program diadakan bersempena dengan peperiksaan STPM Penggal 3 yang akan diduduki pelajar Pra-U Atas pada 3 hingga 5 November 2015 dan STPM Penggal 1 yang akan diduduki oleh pelajar Pra-U Bawah pada 19, 23 dan 24 November 2015 ini. Selain itu, terdapat pelajar Pra-U Atas yang akan menduduki peperiksaan Ulangan Penggal 1 dan Ulangan Penggal 2.

Saudara Mohd Amin bin Abdul Aziz tampil sebagai wakil pelajar Pra-U menyampaikan ucapan.

Majlis disempurnakan oleh Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, yang berharap pelajar akan memperoleh kejayaan yang baik setelah banyak usaha telah dilakukan oleh guru dan pihak pengurusan sekolah demi mencapai matlamat sekolah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang.

Majlis diakhiri dengan zikir munajat dan acara bersalaman antara pelajar dan guru.


Khamis, 15 Oktober 2015

MAJLIS TEMU MURNI IBU BAPA PELAJAR PRA-U

IBU bapa pelajar Pra-U Atas ban Pra-U Bawah hadir ke sekolah pagi ini bertemu dengan guru tingkatan dan guru mata pelajaran dalam program Temu Murni Ibu Bapa dan Guru Pra-U.


Program yang bermula pada pukul 11:30 pagi itu membolehkan guru memberikan maklumat mutakhir tentang perkembangan anak masing-masing menjelang peperiksaan yang akan berlangsung mulai awal Oktober nanti.

Ibu bapa dan penjaga juga ditunjukkan keputusan peperiksaan Percubaan STPM Penggal 1 dan Penggal 3 anak masing-masing.

Program dianjurkan oleh Jawatankuasa Projek Kecemerlangan STPM. Calon Penggal 3 SMK Sultan Omar akan mula menduduki peperiksaan pada 3 November 2015, manakala calon Penggal 1 akan menghadapi peperiksaan bermula pada 19 November 2015, kedua-duanya bermula dengan mata pelajaran Pengajian Am.


Selasa, 13 Oktober 2015

ANALISIS KEPUTUSAN INDIVIDU PEPERIKSAAN PERCUBAAN PENGGAL 1 DAN PENGGAL 3

JAWATANKUASA Projek Kecemerlangan STPM mengadakan Analisis Percubaan STPM Penggal 1 dan Penggal 3 yang disertai oleh pelajar-pelajar Pra-U pagi ini.



Pelajar Penggal 1 (Pra-U Bawah) mencatatkan pencapaian keseluruhan 4.44%, dengan pencapaian PNGK 0.65. Dua orang pelajar mencatatkan keputusan lulus penuh dalam semua empat mata pelajaran yang diambil, iaitu Nur Amilia Natasya binti Azlizan (2.67), dan Nurul Aminah binti Jusoh (2.08). Seramai 45 orang pelajar Pra-U Bawah akan menghadapi STPM Penggal 1 pada 18 November 2015 (Rabu), 23 November 2015 (Isnin), dan 24 November 2015 (Selasa).

Pelajar Penggal 3 (Pra-U Atas) yang terdiri daripada 23 orang mencatatkan pencapaian keseluruhan 60.87%, dengan PNGK 1.93. Lima orang pelajar mencatat gred purata 3.00 ke atas, dengan Mohd Amin bin Che Aziz (6AG) yang memperoleh gred purata 3.50 (2A, 1A-, 1C+) menjadi calon terbaik. Calon lain ialah Muhammad Firdaus bin Muda (6AC) memperoleh gred purata 3.42 (1A, 2A-, 1B), Nur Syafiqah binti Rasidin (6AG) memperoleh gred purata 3.09 (2A-, 1B-, 1C+), Aina Khairunnisa binti Hassan (6AT) memperoleh gred purata 3.00 (2A-, 1B-, 1C), dan Khairun Najihah binti Mazlan (6AG) memperoleh gred purata 3.00 (1A-, 1B+, 1B, 1C).

Pada majlis itu juga, Muhammad Firdaus bin Muda (6AC) menerima hadiah penghargaan kerana muncul sebagai calon terbaik MUET yang diambil pada sesi Julai 2015 dengan memperoleh Band 4.

Analisis dibentangkan oleh Encik Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan 6 di Bilik Mesyuarat Gemilang.




  

Khamis, 8 Oktober 2015

KEM TUTORIAL STPM PENGGAL 3 DAERAH DUNGUN

DUA puluh tiga orang pelajar Pra-U Atas mengikuti Kem Tutorial STPM Penggal 3 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Dungun di SMK Tengku Intan Zaharah bermula pagi ini hingga 10 Oktober 2015.


Kesemua pelajar itu menginap di asrama SMK Tengku Intan Zaharah untuk mengikuti program tersebut kerana terdapat kelas yang diadakan pada waktu malam.

Program bermula dengan Perhimpunan Pelajar dengan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Tuan Haji Bakar bin Jusoh. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran bermula dengan mata pelajar Pengajian Perniagaan dan Ekonomi, diikuti dengan Pengajian Am, Bahasa Melayu, dan Sejarah.

Dalam program ini, beberapa orang guru dari SMK Sultan Omar turut menjadi fasilitator bagi semua mata pelajaran tersebut.


Khamis, 1 Oktober 2015

PELAJAR PRA-U MENGANJURKAN LAWATAN BERMAKLUMAT

PELAJAR Pra-U mengadakan Lawatan Bermaklumat ke Melaka dan Kuala Lumpur pada 29 September hingga 1 Oktober lalu.


Sebahagian besar pelajar Pra-U yang menyertai lawatan tersebut terdiri daripada pelajar Pra-U Bawah. Mereka diiringi oleh Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Mazlan bin Mohd, serta Puan Rosni binti Ibrahim, Kaunselor Sekolah, Tuan Haji Ramli bin Musa, dan Tuan Haji Ghazali bin Abdullah.

Di Melaka, pelajar berpeluang menaiki Menara Taming Sari yang berketinggian 110 meter di Bandar Hilir, serta menaiki River Cruise di Sungai Melaka, dan berkunjung ke Melaka Tropical Fruit Farm. Sementara itu, di ibu negara, pelajar melawat Management and Science University (MSU), Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, dan bersantai di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.