SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Sabtu, 23 Ogos 2014

GURU IKUTI KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME DI KUANTAN

TUJUH orang guru Pra-U sekolah kita mengikuti Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Tingkatan 6 di Hotel Seri Malaysia, Kuantan pada 21 hingga 23 Ogos 2014 bersama-sama dengan guru-guru dari SMK Tengku Intan Zaharah, SMK Paka, SMK Ketengah Jaya dan SMK Durian Mas.



Dalam kursus tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, guru yang terlibat ialah Encik Mazlan bin Mohamad, Encik Suhaimi bin Mohd Salleh, Puan Hajah Razifah binti Abd Ghani, Puan Hajah Rosnah binti Hashim, Puan Hajah Fauziah binti Ali, Puan Saira Begum binti Abdul Majeed dan Puan Robiah Husin.

Guru dibahagikan kumpulan mengikut mata pelajaran dan melaksanakan empat bengkel sepanjang tiga hari kursus dijalankan. Pada akhir kursus, setiap kumpulan mata pelajaran menyelesaikan pembinaan modul untuk kegunaan Tutorial STPM Penggal 1 dan Penggal 3 yang akan diadakan pada bulan September ini.


Selain itu, peserta kursus telah membuat lawatan ke SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan pada 22 Ogos 2013.


Selasa, 19 Ogos 2014

HARI RAYA PRA-U

PELAJAR Pra-U mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara ringkas pada hari ini untuk meraikan semua pelajar dan guru Pra-U.


Hidangan nasi minyak dan kuih-muih diadakan di bilik Tingkatan Pra-U Bawah Terbilang, dengan dihadiri oleh semua guru Pra-U. Selain itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Wan Mohd Yusoff bin Wan Mohamad, dan Tuan Haji Ghazali bin Abdullah turut hadir.






Ahad, 17 Ogos 2014

PELAJAR PRA-U MENDERMA DARAH

BEBERAPA orang pelajar Pra-U menyertai khidmat masyarakat dengan menderma darah yang diadakan di Dewan Warisan pagi ini.


Derma darah merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang melibatkan pelajar Pra-U. Walau bagaimanapun, pada tahun ini, pelajar Tingkatan 5 turut dibenarkan untuk menderma darah.


Sebelum menderma darah, pelajar Pra-U dan Tingkatan 5 telah diberikan taklimat oleh pihak hospital pada hari Khamis lalu. Hanya pelajar yang mempunyai berat badan dan darah yang mencukupi serta sihat sahaja dibenarkan berbuat demikian.

SKUAD BADMINTON DAN BOLA TAMPAR PRA-U KE PERINGKAT NEGERI

PASUKAN badminton dan bola tampar perempuan Pra-U DESSO mewakili daerah Dungun dalam Kejohanan Sukan Pra-U Negeri Terengganu yang diadakan di Kuala Berang pada 14 hingga 15 Ogos lalu.


Kedua-dua pasukan itu memenangi Kejohanan Sukan Pra-U Daerah Dungun yang diadakan di Kolej Ketengah dan SMK Durian Mas, di Bandar Al-Muktafibillah Shah, Dungun sebelum ini.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan badminton Pra-U memenangi tempat ketiga. 


Kesemua pemain menerima sijil penyertaan masing-masing dalam majlis penyampaian semula yang disempurnakan oleh Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaffar semasa Perhimpunan Mingguan pada pagi ini.

Rabu, 13 Ogos 2014

TUJUH ORANG LEPASAN STPM 2013 KE IPTA

TUJUH orang lepasan STPM 2013 terpilih untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi awam bagi sesi 2014/2015 di Semenanjung dan di Sabah.

Pelajar Terbaik STPM 2013, Nur Farah binti Zulkifli, dipilih untuk mengikuti program Sarjana Muda dengan Kepujian Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dua orang calon akan mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan masing-masing seorang di Universiti Malaya (UM), seorang di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mereka merupakan calon kumpulan pertama yang mengikuti pengajian STPM berdasarkan sistem modular. 


Yang berikut ialah pelajar-pelajar yang berjaya:
  1. Nur Farah binti Zulkifli - Sarjana Muda dengan Kepujian (Pengajian Bahasa Melayu) - Universiti Kebangsaan Malaysia
  2. Mohd Suhairie bin Mazlan - Sarjana Muda Sastera (Sejarah) - Universiti Malaya
  3. Mohd Ubadilah bin Khazali - Sejarah - Universiti Malaysia Sabah
  4. Aina Faraaqilah binti Abdullah - Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani dengan Kepujian - Universiti Utara Malaysia
  5. Hamiza binti Saffee - Pengurusan Perhotelan - Universiti Malaysia Sabah
  6. Norliani binti Mohd Gaazali - Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) - Universiti Malaysia Terengganu
  7. Nurul Nasuha binti Mohammad - Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) dengan Kepujian - Universiti Pendidikan Sultan Idris
Keputusan pelajar-pelajar yang layak ke IPTA diumumkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) melalui portal pada 12 Ogos 2014 (Selasa) lalu. Kesemua bakal siswa tersebut akan melaporkan diri di kampus masing-masing pada 1 September 2014 ini.

Ahad, 10 Ogos 2014

MI KARI HIDANGAN SAMBUTAN HARI RAYA

PELAJAR Pra-U menghidangkan mi kari sebagai menu Sambutan Hari Raya Peringkat SMKSO daripada kalangan pelajar Tingkatan 6 yang diadakan di Dewan Warisan mulai 10:30 pagi hingga 12:30 tengah hari pada hari ini.


Dalam majlis sambutan tersebut, semua tingkatan menghidangkan menu pilihan masing-masing yang dapat dinikmati secara terbuka oleh semua warga sekolah.

Tetamu jemputan ke majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Tuan Haji Bakar bin Jusoh, yang turut memberikan ucapan, selain mantan Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Md. Zain bin Muda.


Sebelum sambutan hari raya itu bermula, Kelab Guru dan Kakitangan SMKSO mengadakan Majlis Meraikan Pertukaran Guru dan Persaraan Kakitangan Sokongan. Mereka kemudiannya sama-sama menikmati jamuan hari raya yang diadakan.