SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Isnin, 21 Julai 2014

PELAJAR PRA-U UNGGULI PERTANDINGAN MEMBACA KHUTBAH

PELAJAR Pra-U menguasai Pertandingan Membaca Khutbah anjuran Majlis Dakwah Islamiah Sekolah (MAKDIS) dan Panitia Pendidikan Islam SMK Sultan Omar apabila  wakilnya muncul sebagai johan.


Wakil tersebut, Mohd Nadzir bin Mohamad, pelajar 6 Pra-U Atas Terbilang, menerima hadiah kemenangannya hari ini daripada Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaafar di Surau al-Ikhlas. Seorang lagi wakil Pra-U, Mohd Hisham Syawal bin Yusof, dari 6 Pra-U Bawah Terblang, memenangi tempat kedua.

Pertandingan tersebut dilangsungkan pada 7 Julai 2014 lalu bersempena dengan aktiviti Ihya Ramadan yang juga diadakan di Surau al-Ikhlas. Seramai 6 orang pelajar lelaki dari kalangan 6 Atas dan 6 Bawah menyertai pertandingan tersebut.



Pertandingan tersebut terbuka kepada pelajar lelaki dari Tingkatan 4, 5 dan 6.

Rabu, 2 Julai 2014

PRA-U BAWAH MENERIMA BB1M

PELAJAR Pra-U Bawah SMKSO yang memulakan pengajian pada bulan Mei lalu menerima insentif daripada kerajaan untuk membiayai pembelian buku rujukan pada hari ini.


Bantuan buku melalui program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) itu diagihkan kepada semua pelajar 6 Bawah dalam satu majlis khas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang, yang disempurnakan penyampaiannya oleh pengetua baharu SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaafar.

Baucar yang bernilai RM250.00 seorang itu perlu ditukarkan dengan buku di kedai-kedai yang menjadi wakil jualan sebelum 31 Julai 2014. Encik Wan Su berharap semua pelajar memanfaatkan pemberian itu dengan sebaik-baiknya untuk kecemerlangan dalam pelajaran. 


Turut hadir dalam majlis pengagihan baucar itu ialah Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Mazlan bin Mohd.

Isnin, 26 Mei 2014

HARI RAMAH MESRA PRAUNIVERSITI

JAWATANKUASA Persatuan Prauniversiti (PPU) mengadakan Hari Ramah Mesra antara pelajar Pra-U Atas dengan Pra-U Bawah untuk memupuk persefahaman dan saling mengenali antara ahli lama dengan ahli baharu persatuan.


Inisiatif ini diambil kerana semasa Minggu Suai Kenal Pelajar Pra-U Bawah yang diadakan sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Bimbingan dan Perkhidmatan Kaunseling, dan tidak melibatkan pelajar Pra-U Atas seperti pada tahun-tahun lepas. Hal ini terjadi demikian kerana pada masa tersebut pelajar Pra-U Atas sangat hampir dengan peperiksaan Penggal 2 STPM untuk membolehkan pelajar tersebut menumpukan perhatian tentang persiapan terakhir.


Beberapa aktiviti mencungkil bakat diadakan, termasuk sukaneka yang dijalankan di sekitar sekolah dan di Dewan Warisan.


Isnin, 5 Mei 2014

ATHIRA NAIB JOHAN PIDATO PRAUNIVERSITI

PELAJAR Pra-U Atas Terbilang, Athira Najwa binti Zakaria sekali lagi mengharumkan nama sekolah dan daerah Dungun apabila muncul sebagai naib johan kategori Pidato Prauniversiti Negeri Terengganu bersempena dengan Karnival Bahasa Melayu Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Athira mewakili daerah Dungun setelah berjaya muncul sebagai johan dalam pertandingan peringkat daerah yang diadakan di Kolej Vokasional Dungun pada minggu lepas.

Semasa menyampaikan pidatonya di Perpustakaan Awam Marang, dia agak terganggu dengan masalah mikrofon yang menyebabkan dia tidak dapat membuat huraian yang mantap untuk menguatkan hujah terakhirnya.

Kejayaannya ini merupakan yang kedua berturut-turut dimenangi oleh Athira di peringkat negeri. Pada tahun lepas, dia mendapat tempat kedua pada pertandingan yang sama yang diadakan di SMK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang.

Selasa, 22 April 2014

PERSATUAN PRA-U BUKA GERAI JUALAN AMAL


BERSEMPENA dengan Festival Pendidikan DESSO 2, Persatuan Prauniversiti (PPU) mengambil inisiatif dengan menyertai kelab dan persatuan DESSO yang lain membuka gerai jualan.


Gerai jualan yang dibuka oleh PPU lebih bersifat kebajikan dengan menjual  barang-barang terpakai dan hasilnya digunakan untuk mengisi tabung PPU dan tabung Palestin. Antara barang yang dijual ialah pakaian, beg, buku, dan lencana yang diperoleh melalui sumbangan guru-guru Tingkatan 6 sendiri. Selain itu, barang terpakai juga diperoleh daripada badan bukan kerajaan dan individu dari luar sekolah.

Sebanyak 40% daripada hasil hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung PPU, manakala 60%  lagi akan disumbangkan kepada  Tabung Amal Palestin.


Oleh sebab semasa berlangsungnya festival itu pelajar Tingkatan 6 Atas sedang menduduki Peperiksaan Percubaan Penggal 2, gerai dikendalikan secara sukarela oleh empat orang bekas pelajar Tingkatan 6 tahun 2013. Walau bagaimanapun, beberapa orang pelajar 6 Atas memberikan bantuan ketika mereka mempunyai ruang waktu untuk turun ke tapak festival di padang DESSO. 


Jumaat, 14 Mac 2014

BB1M UNTUK PELAJAR PRA-U ATAS

PELAJAR Pra-U Atas SMKSO menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bagi sesi pengajian 2014 hari ini, yang disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohd Yassin bin Mohd Salleh.



Baucar buku yang bernilai RM250.00 untuk setiap pelajar itu disampaikan di Dewan Warisan bersempena dengan majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO ke-37.


Turut menyaksikan penyerahan bantuan buku itu ialah Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Mohamad bin Jusoh, Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Md Zain bin Muda, guru-guru, dan ibu bapa dan penjaga pelajar yang menghadiri mesyuarat tersebut.


Khamis, 16 Januari 2014

PENGAWAS MENERIMA WATIKAH PEMIMPIN PELAJAR

SEMUA Pengawas Sekolah dari kalangan pelajar Prauniversiti bersama-sama pengawas dari tingkatan lain menerima watikah pelantikan masing-masing dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar.


Penyampaian watikah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Dungun, Tuan Haji Din bin Adam, dan turut disaksikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Tuan Haji Bakar bin Jusoh, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Unit Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Mohd Fadzilah bin Mohd Ibrahim, Pengetua Cemerlang DESSO, Tuan Haji Md Zain bin Muda, Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru dan semua pelajar DESSO. 

Mengetuai penerimaan ialah Ketua Pelajar, Mohd Nashrul Affiq bin Abu Bakar, yang kemudiannya turut mengetuai bacaan ikrar. Acara penyampaian watikah diadakan di Medan Perhimpunan.

Selain Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Koperasi, Pengawas Kantin, Pengawas SPBT, Pemimpin Rakan Sebaya, dan Briged Bestari, serta ketua tertinggi semua Unit Uniform Sekolah, turut disampaikan watikah.


Beberapa orang pelajar Pra-U, selain terlibat dengan Pengawas Sekolah, turut diberikan kepercayaan sebagai Pengerusi Unit Berunifom, Pemimpin Rakan Sebaya, dan  Pengawas Kantin.