SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Selasa, 26 Mei 2015

MINGGU MESRA PENGGUNA SELAMA DUA HARI

PERSATUAN Prauniversiti SMK Sultan Omar bersama dengan Persatuan Pengguna SMK Sultan Omar, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan menganjurkan Minggu Mesra Pengguna selama dua hari mulai pagi ini.


Program ini dirasmikan oleh Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, dan turut dihadiri oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Wan Mohd Yusoff bin Wan Mohamad, Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Wan Ahmat bin Wan Manan, dan Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Mazlan bin Mohd.

Majlis perasmian diserikan dengan acara menanam pokok yang disempurnakan oleh Pengetua dan Penolong Kanan Tingkatan 6. Selepas itu, pelajar Pra-U Bawah dan Pra-U Atas mengikuti ceramah "Hak-hak Pengguna" yang disampaikan oleh Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Encik Abdul Ghani bin Junid.

Program ini akan diteruskan esok dengan program ceramah dan pameran, "Kempen Hidup Sihat", dan ceramah kepenggunaan daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Majlis penutupan program akan dilangsungkan pada tengah hari, yang dijangka akan disempurnakan oleh pegawai dari Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri Terengganu..


Ahad, 24 Mei 2015

FESTIVAL GERKO PRA-U SMKSO

PENGURUSAN Kokurikulum Pra-U menganjurkan Festival Gerko Prauniversiti SMK Sultan Omar yang melibatkan semua pelajar Pra-U Bawah dan Pra-U Atas bermula hari ini hingga 28 Mei 2015.


Pada hari ini, dilangsungkan pertandingan permainan bola tampar dan bola jaring, manakala pertandingan badminton akan diadakan pada hari Selasa (26 Mei 2015).

Objektif karnival ini diadakan untuk membolehkan pelajar Pra-U mendapat markah kokurikulum, di samping untuk mengeratkan hubungan antara Pra-U Bawah dan Pra-U Atas. Semasa Minggu Suai Kenal Pra-U Bawah pada minggu lepas, pelajar Pra-U Atas tidak dapat mengendalikan aktiviti kerana sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menghadapi STPM Penggal 2.

Selain permainan, diadakan juga pertandingan memasak yang dijadualkan akan dilangsungkan pada 26 Mei 2015, dan pertandingan koakademik yang melibatkan pertandingan forum, pidato, deklamasi sajak, dan menyampaikan berita yang akan diadakan pada 28 Mei 2015.

Pertandingan permainan itu melibatkan pertandingan antara rumah sukan, iaitu Biru, Kuning, Hijau, dan Merah.




Selasa, 19 Mei 2015

PELAJAR PRA-U ATAS MENDUDUKI STPM PENGGAL 2 (2015)

PELAJAR Pra-U Atas mula menghadapi peperiksaan STPM Penggal 2 Sesi 2015 mulai pagi ini dan akan berlangsung hingga 21 Mei 2015 (Khamis) ini.

Gambar ihsan Puan Hajah Razifah
Peperiksaan bermula dengan mata pelajaran Pengajian Am 2 (900/2) pada pukul 8:00 hingga 9:30 pagi yang melibatkan semua 23 orang calon. Kesemuanya akan menghadapi peperiksaan Bahasa Melayu 2 (910/2) pada pagi esok (11:00 hingga 12:30 tengah hari). Pada sebelah petangnya, 2:30 hingga 4:15 petang, 15 orang calon menduduki peperiksaan Pengajian Perniagaan 2 (946/2).

Pada hari terakhir, 21 Mei 2015, mulai 8:00 pagi, lapan orang calon dari Pra-U Atas Terbilang akan menduduki peperiksaan Ekonomi 2 (944/2) , dan selepas itu, pada pukul 11:00 hingga 12:30 tengah hari, semua calon akan menduduki peperiksaan Sejarah 2 (940/2) .

Gambar ihsan Puan Hajah Razifah



Isnin, 18 Mei 2015

PRA-U BAWAH TERLIBAT DENGAN AKTIVITI HARI GURU SEKOLAH

PELAJAR Pra-U Bawah yang baru habis menjalani Minggu Suai Kenal pada minggu lepas, hari ini turut menjayakan aktiviti Hari Guru Peringkat Sekolah 2015.


Sambutan Hari Guru kali ini dikendalikan oleh gabungan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Koperasi, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Briged Bestari, dan diselia oleh Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah.

Beberapa orang pelajar Pra-U Bawah terlibat dalam aktiviti Hari Guru dengan mengendalikan satu daripada stesen sukaneka yang diketuai oleh Muhammad Fakhrul Hakimin bin Haji Mokhtar. Sementara itu, sekumpulan pelajar lain mempersembahkan koir sebelum majlis penyampaian hadiah di Dewan Warisan.




Khamis, 14 Mei 2015

PENUTUPAN MINGGU SUAI KENAL PRA-U BAWAH SESI 2016

PENGETUA SMK Sultan Omar, Encik Wan Su bin Wan Jaffar menyempurnakan penutupan Minggu Suai Kenal Pra-U Bawah Sesi 2016 di Dewan Warisan pagi ini.


Majlis tersebut diadakan selepas lebih pelajar-pelajar lepasan SPM 2014 mendaftar sebagai pelajar Pra-U Bawah pada 5 Mei 2015 lalu, dan mengikuti Minggu Orientasi di bawah kelolaan Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling SMK Sultan Omar.

Turut hadir ke majlis penutupan tersebut ialah mantan Pengetua SMK Sultan Omar, Encik Abdul Rahman bin Husin yang kini berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, dan Yang Diperlua PIBG, Tuan Haji Mokhtar bin Omar.

Dalam ucapannya, Encik Wan Su menganggap bahawa pelajar yang mendaftar dan ingin terus belajar di Tingkatan 6 telah memilih laluan yang betul untuk ke universiti awam.

Selain semua guru Pra-U, pelajar Pra-U Atas turut meluangkan masa bersama-sama dalam majlis tersebut dan menyaksikan persembahan daripada pelajar Pra-U Bawah.




Selasa, 5 Mei 2015

PELAJAR PRA-U ATAS DENGAN HARI KOPERASI SEKOLAH

MESKIPUN hari ini ialah hari pendaftaran pelajar Pra-U Bawah sesi 2016, beberapa orang pelajar Pra-U Atas terlibat juga dengan aktiviti Hari Koperasi Sekolah yang turut diadakan pada hari ini.



Pelajar tersebut ialah lima orang yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa bagi aktiviti sukaneka yang memerlukan mereka mengawasi pertandingan lima jenis sukaneka dan mencatatkan markah yang diperoleh kumpulan unit berunifom yang bertanding.

Tiga orang lagi pula menyertai aktiviti jualan dengan menjual kain terpakai dan barang-barang tupper-ware.

Kedua-dua aktiviti tersebut berlangsung mulai 9:00 pagi selepas sahaja majlis perasmian Hari Koperasi Sekolah di Dataran Perhimpunan yang disempurnakan oleh Setiausaha Jabatan Perhubungan Angkasa Negeri Terengganu.


PELAJAR PRA-U SESI 2016 MENDAFTAR

EMPAT puluh enam orang pelajar lepasan SPM 2014 mendaftar sebagai pelajar Pra-U Bawah SMK Sultan Omar bagi pengajian sesi 2016 di Dewan Warisan mulai pukul 8:30 pagi hari ini.



Pelajar-pelajar tersebut asalnya dari SMK Sultan Omar sendiri, SMK Seri Dungun, SM Agama Sultan Ismail, SMK Pulau Serai, dan SMK Kompleks Rantau Abang. Jumlah tersebut sangat kecil berbanding dengan lebih daripada 200 orang pelajar yang layak memasuki Tingkatan 6 di sekolah ini.

Pelajar SPM yang layak memasuki sekolah ini yang menawarkan kursus aliran kemanusiaan ialah yang memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus dalam mata pelajaran Sejarah, serta memperoleh tidak lebih daripada 12 agriget bagi tiga mata pelajaran.

Pendaftaran dijalankan oleh pelajar Pra-U Atas dengan seliaan Guru Akadermik Tingkatan 6. Pelajar-pelajar tersebut terus menjalani program suai kenal yang dikendailikan oleh Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang akan berlangsung hingga minggu hadapan.