SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Selasa, 8 Mei 2018

PENUTUPAN MINGGU SUAI KENAL TINGKATAN ENAM SESI 2019

SETELAH berlangsung mulai 2 Mei 2018, Minggu Suai Kenal Pelajar Tingkatan Enam 2019 berakhir pada hari ini dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Puan Hajah Nor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO.


Majlis ringkas itu diadakan di Bilik Kuliah 1 dengan dihadiri oleh Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan Enam dan guru-guru Tingkatan Enam yang lain.

Majlis penutupan terpaksa dilakukan lebih awal daripada jadual asal disebabkan kekangan waktu yang dihadapi oleh pihak sekolah pada bulan Mei ini, termasuklah cuti yang kerap, peperiksaan STPM Penggal 2, dan beberapa program besar sekolah.

Setakat ini, jumlah pelajar yang mendaftar dan masih kekal adalah seramai 60 orang. Walau bagaimanapun, guru-guru Tingkatan Enam percaya bahawa sebahagiannya akan meninggalkan Tingkatan Enam setelah mendapat tawaran lain yang lebih baik bagi mereka.

Seperti biasa, mereka dibahagikan kepada tiga buah kelas, iaitu sebuah kelas Ekonomi, dan dua buah kelas Pengajian Perniagaan. Selain itu, mereka akan mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, dan Sejarah.



 

Ahad, 6 Mei 2018

TEMU MURNI STPM PENGGAL 2

PROJEK KECEMERLANGAN STPM mengadakan Majlis Temu Murni pada pagi ini di Bilik Mesyuarat Gemilang DESSO.


Program itu mempertemukan ibu bapa dan penjaga dengan guru-guru STPM sebagai langkah meningkatkan pencapaian pelajar dengan penyertaan dan pengetahuan ibu bapa dan penjaga tentang potensi anak masing-masing.

Majlis kali ini boleh dikatakan mencatat sejarah kerana 79.07 peratus ibu bapa dan penjaga hadir. Selain mendengar taklimat daripada guru projek kecemerlangan, ibu bapa juga diberikan motivasi oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO agar sama-sama mengambil peranan untuk memajukan pelajaran anak-anak. Ibu bapa juga diserahkan slip keputusan Peperiksaan Percubaan STPM Penggal 2 yang diadakan pada bulan April lalu. 

Khamis, 8 Februari 2018

PELAJAR PENGGAL 2 MENGGENGGAM IMPIAN

PROJEK Kecemerlangan STPM mengadakan Program Menggenggam Impian STPM yang melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas yang akan menghadapi peperiksaan Penggal 2 pada bulan Mei ini.


 Program bermula dengan slot motivasi, "Bersama Mencipta Kejayaan" yang dikendalikan oleh Guru Kaunseling, Tuan Haji Ramli bin Musa. Dalam slot itu, pelajar diminta agar mendokumentasikan unjuran pencapaian masing-masing dalam setiap mata pelajaran yang diambil. 

Puan Siti Zubaidah binti Fazai membentangkan aktiviti-aktiviti kecemerlangan STPM yang akan dilaksanakan untuk Penggal 2 dan Penggal 3.

Selain itu, beliau turut menyenaraikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan STPM Penggal 3 sesi 2017. Seramai 12 orang pelajar memperoleh gred purata 3.0 ke atas dalam peperiksaan tersebut, termasuk Mohd Afham yang memperoleh 4.0. Keputusan peperiksaan itu diumumkan pada 1 Februari 2018, Khamis lalu. Bersama dengan keputusan itu, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) turut mengumumkan keputusan Kerja Kursus bagi Penggal 2 dan Penggal 3 sesi 2017.

Pengetua DESSO, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman yang menyampaikan ucaptama mendesak pelajar agar sentiasa menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Majlis diakhiri dengan acara bacaan zikir munajat dan doa yang diketuai oleh Mohd Huzairi.

Khamis, 18 Januari 2018

PRA-U MEMBANTU KELANCARAN KEJOHANAN MERENTAS DESA PERINGKAT SMKSO

WALAUPUN pelajar Tingkatan Enam tidak mengambil bahagian dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat SMKSO, 45 orang pelajarnya diperlukan untuk membantu penganjurnya melancarkan perjalanan kejohanan itu dalam pelbagai aspek.


 Pelajar Tingkatan Enam membantu rumah masing-masing untuk mengendalikan penyediaan makanan dan minuman peserta semenjak latihan pada 8, 9, 10, 14 dan 16 Januari. Selain tugas itu, dalam kejohanan yang diadakan pada pagi ini, pelajar Tingkatan Enam turut membantu guru sebagai penunjuk arah laluan kepada peserta, hakim penamat, dan penjaga masa.

Mereka diberikan taklimat tentang tugas masing-masing sehari sebelum kejohanan berlangsung.

Dalam kejohanan itu, lima kategori dipertandingkan, iaitu Lelaki 18, Perempuan 18, Lelaki 15, Perempuan 15, dan Pendidikan Khas. Rumah Garuda (Rumah Hijau) muncul sebagai johan, diikuti oleh Rumah Pelanduk (Rumah Biru) sebagai naib johan, Rumah Singa (Rumah Merah) memperoleh tempat ketiga, dan diikuti oleh Rumah Harimau (Rumah Kuning).




Rabu, 25 Oktober 2017

KEM MEMPERTINGKATKAN DAN MENGUPAYAKAN PEMBELAJARAN KENDIRI TINGKATAN ENAM DAERAH DUNGUN

PELAJAR 6 Atas dan 6 Bawah mengikuti Kem Mempertingkatkan dan Mengupayakan Pembelajaran Kendiri Tingkatatn Enam Derah Dungun selama empat hari berturut-turut, yang bermula 22 Oktober 2017 hingga 25 Oktober 2017.


Dua mata pelajaran terlibat dalam kem yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan Majlis Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam Daerah Dungun ialah Bahasa Melayu dan Pengajian Am.

Kem Bahasa Melayu diadakan di Pusat Latihan Kerteh, Felda Kerteh 2, Dungun pada 22 Oktober 2017 bagi pelajar 6 Atas (Penggal 3), dan 23 Oktober 2017 bagi pelajar 6 Bawah (Penggal 1). Kem Pengajian Am pula diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun pada 24 Oktober 2017 bagi pelajar 6 Bawah dan 25 Oktober 2017 bagi pelajar 6 Atas.

Selain pelajar SMK Sultan Omar, kem-kem tersebut turut disertai pelajar Tingkatan Enam dari SMK Tengku Intan Zaharah, SMK Paka, SMK Ketengah Jaya, dan SMK Durian Mas. 


Ahad, 22 Oktober 2017

PELAJAR ENAM BAWAH MENGENDALIKAN JAMUAN AKHIR TAHUN PERSATUAN PRAUNIVERSITI


PERSATUAN Prauniversiti (PPU) meneruskan aktiviti tahunannya dengan mengadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun di Hotel UiTM Dungun pada petang ini. Majlis ini dikendalikan oleh pelajar 6 Bawah.


Dalam majlis itu, pelajar 6 Atas dan guru Tingkatan Enam diraikan dengan penyampaian cenderamata penghargaan, di samping penyampaian hadiah cabutan bertuah, dan hadiah khas pelajar terbaik bagi beberapa kategori.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua, dan Puan Hajah Wan Noorimah binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran.

Selain persembahan daripada pelajar Enam Atas dan Enam Bawah, majlis turut diselitkan dengan acara penyerahan tanggungjawab pengendalian PPU daripada pelajar Enam Atas kepada pelajar Enam Bawah. Saudara Almuzamsyar Arif bin Abdullah sebagai Pengerusi PPU 2017 menyerahkan tugas kepada pengerusi yang baharu.


Selasa, 19 September 2017

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN PRA-U DITUTUP HARI INI

SAMBUTAN Bulan Kemerdekaan Malaysia 2017 Peringkat Prauniversiti yang bermula serentak dengan sambutan peringkat sekolah pada 22 Ogos 2017 berakhir pada hari ini.


Sepanjang program sambutan itu berlangsung, bebeapa kegiatan dilaksanakan dalam kalangan pelajar prauniversiti. Antaranya ialah program pertandingan swafoto, video, deklamasi puisi, dan menulis esei. Pada hari penutupan rasmi, acara mencari harta karun, senamrobik, dan penyampaian hadiah kepada pemenang diadakan.

Program disempurnakan penutupannya oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.

Semua program dianjurkan dengan kerjasama daripada Kelab 1 Malaysia, Panitia Sejarah Tingkatan Enam, dan Pejabat Penerangan Daerah Dungun.