SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 22 OKTOBER 2018 - 8:47 MALAM SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH. SELAMAT BELAJAR DENGAN TEKUN. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Selasa, 17 Mei 2016

RESTU ILMU RINGKAS UNTUK MENGHADAPI STPM PENGGAL 2

PRA-U Atas mengadakan bacaan surah Yasin, sembahyang hajat, dan Majlis Restu Ilmu ringkas di Surau Al-Ikhlas SMKSO pagi ini untuk mendapatkan cahaya kejayaan dalam peperiksaan STPM Penggal 2 tahun 2016 yang akan bermula pada 19 Mei 2016 (Khamis) ini.


Dalam majlis itu, pelajar Pra-U Atas, yang turut diserai pelajar Pra-U Bawah, bersalam dengan guru-guru Pra-U sebagai simbolik mendapatkan restu untuk setiap ilmu yang diterima daripada guru.

Pelajar Pra-U Atas akan menduduki kertas Pengajian Am 2 pada 19 Mei 2016, diikuti dengan Bahasa Melayu 2 dan Pengajian Perniagaan 2 pada 23 Mei 2016 (Isnin), dan Ekonomi dan Sejarah pada 24 Mei 2016 (Selasa).

Untuk menghadapi peperiksaan tersebut, pelajar telah dibekalkan dengan pelbagai latihan, modul, dan kelas tambahan. Pada saat-saat akhir untuk menduduki peperiksaan, pelajar masih lagi dibantu melalui Pecutan Akhir sehingga 22 Mei 2016 (Ahad).


Khamis, 12 Mei 2016

MINGGU SUAI KENAL BERAKHIR

PELAJAR Pra-U Bawah 2016, yang mendaftar pada 4 Mei 2016 lalu, menamatkan aktiviti Minggu Suai Kenal hari ini dalam satu majlis penutupan yang sederhana tetapi meriah.


Majlis dihadiri oleh semua guru Pra-U, guru-guru pengurusan, dan pelajar Pra-U Atas. Dalam majlis itu, wakil Pra-U Bawah memberikan ucapan, diikuti majlis perasmian penutupan oleh Encik Wan Su bin Wan Jaffar, Pengetua SMKSO.

Majlis penutupan diserikan dengan persembahan sketsa, nyanyian, dan tayangan multimedia daripada semua pelajar Pra-U Bawah.

Pelajar Pra-U Bawah akan mula mengikuti pelajaran pada minggu hadapan.


Rabu, 4 Mei 2016

PELAJAR ENAM BAWAH MENDAFTAR HARI INI

LEPASAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendaftar sebagai pelajar Tingkatan Enam Bawah di Dewan Warisan pada pagi ini.


Sehingga tengah hari, lebih daripada 50 orang pelajar mendaftar. Jumlah tersebut hampir separuh daripada jumlah pelajar yang layak menduduki Tingkatan Enam Bawah di sekolah ini.

Tinjauan awal mendapati, daripada 50 orang pelajar tersebut, sebahagian besar daripada mereka masih menunggu keputusan untuk mengikuti kursus diploma dan pelbagai kursus lain. Dengan hal yang demikian, dijangkakan kemungkinan besar hampir separuh daripada pelajar tersebut akan meninggalkan pengajian Tingkatan Enam.

Pada hari pendaftaran, pelajar berkenaan diberikan taklimat awal oleh Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Mazlan bin Mohd, khususnya tentang disiplin berpakaian, kedatangan, peraturan sekolah secara umum, dan seumpamanya.

Pelajar-pelajar tersebut akan mengikuti Minggu Suai Kenal sehingga 12 Mei 2016 ini.