SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 21 OKTOBER 2018 - 8:20 MALAM SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH. SELAMAT BELAJAR DENGAN TEKUN. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Selasa, 24 Mac 2015

BAUCAR BUKU 1 MALAYSIA DIAGIHKAN

BAUCAR Buku 1 Malaysia (BB1M) diagihkan kepada 24 orang pelajar Pra-U SMK Sultan Omar hari ini dalam majlis khas yang diadakan di Bilik Kuliah 1 di Blok Pra-U pagi ini.

Gambar ihsan Tuan Haji Md Rahim bin Yahaya
Penyerahan baucar yang bernilai RM250.00 untuk setiap orang pelajar itu disempurnakan oleh Pengetua SMK Sultan Omar, Encik Wan Su bin Wan Jaffar.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Wan Mohd Yusof bin Wan Mohamad, dan guru-guru Pra-U.

Baucar tersebut boleh dibelanjakan untuk membeli buku di kedai atau wakil penjual yang menyertai program Kementerian Pendidikan ini.

Gambar ihsan Puan Robiah binti Husain

Ahad, 8 Mac 2015

MOTIVASI PEMBELAJARAN PELAJAR CEMERLANG STPM 2014

PELAJAR Pra-U Atas mengikuti sesi motivasi pembelajaran di Dewan Kuliah 1 Blok Pra-U pagi ini yang dikendalikan oleh sembilan orang pelajar cemerlang STPM 2014.


Motivasi diadakan selepas semua pelajar cemerlang tersebut menerima penghargaan dalam Perhimpunan Mingguan sebelum itu.

Pelajar cemerlang menceritakan cara pembelajaran dan masalah yang dihadapi mereka sehingga dapat mencapai kejayaan yang membanggakan.




MAJLIS PENGHARGAAN KEPADA PELAJAR CEMERLANG STPM 2014

PENGURUSAN Pra-U mengadakan majlis penghargaan pelajar STPM sesi 2014 yang memperoleh gred purata 3.0 ke atas bersempena dengan Perhimpunan Mingguan pagi ini.


Kesemua mereka menerima sijil penghargaan dan bunga yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ruslan bin Haji Ismail.

Pelajar tersebut terdiri daripada Tengku Nofazila binti Tengku Saharudin (4.0), pelajar terbaik, Mohamad Nadzir bin Mohammad (3.67), Nur Aisyah binti Mohamad Depawali (3.67), Mastura binti Bakar (3.50), Ainaa Shahirah binti Asmadi (3.42), Athira Najwa binti Zakaria (3.42), Nor Hasyimah binti Yusof (3.42), Faziera binti Jasni (3.25), Nor Shahira binti Mohd Nor Ilah (3.25), Ahmad Fakhruddin bin Mohammad (3.17), Nurfaziatul Nadhirah binti Rozak (3.17), dan  Shahira binti Yusof (3.00).

Selepas majlis tersebut, pelajar-pelajar cemerlang itu mengadakan sesi motivasi pengalaman pembelajaran kepada pelajar Pra-U Atas yang akan menghadapi peperiksaan Penggal 2 pada bulan Mei ini.


Selasa, 3 Mac 2015

MAJLIS KERAIAN PERTUKARAN GURU TINGKATAN 6

GURU-GURU Tingkatan 6 mengadakan majlis keraian kepada tiga orang guru Tingkatan 6 yang bertukar ke sekolah lain mulai awal tahun ini.


Yang diraikan terdiri daripada Encik Mohd Marzuki bin Mat Jusoh, Guru Akademik Sejarah yang bertukar ke SMK Ketengah Jaya, Puan Hajah Razifah binti Abd Ghani, Guru Akademik Pengajian Am yang bertukar ke SMK Tengku Intan Zaharah, dan Puan Rozana binti Mohamed Hasan, Guru Akademik MUET yang bertukar ke SMK Tengku Intan Zaharah. 

Majlis keraian tersebut diadakan di restoran Hotel UiTM Kampus Dungun pada pukul 2:00 petang ini.

Turut diraikan ialah pelajar cemerlang STPM 2014 yang diumumkan semalam, Tengku Nofazila binti Tengku Saharudin, yang memperoleh 4.0.

Pengetua SMK Sultan Omar, Encik Wan Su bin Wan Jaffar turut hadir dan menyampaikan cenderamata kepada guru-guru berkenaan.


Isnin, 2 Mac 2015

TENGKU NOFAZILA RAIH 4.0

PELAJAR terbaik STPM Penggal 3, Tengku Nofazila binti Tengku Saharudin, muncul sebagai pelajar STPM pertama sekolah ini memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.


Kejayaan tersebut juga menobatkan Tengku Nofazila sebagai pelajar tunggal dari daerah Dungun yang memperoleh PNGK penuh itu dalam peperiksaan STPM 2014, dan termasuk dalam 12 orang pelajar dari seluruh negeri Terenggganu yang memperoleh 4A.

Tengku Nofazila yang diiringi oleh Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Mazlan bin Mohd menerima slip keputusan tersebut daripada YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman dalam majlis khas di Sekolah Menengah Agama Atas Zainal Abidin (SMAAZA) di Kuala Terengganu tengah hari ini. Pelajar itu juga menerima sebuah laptop jenama Lenovo dan sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Terengganu.

Dalam peperiksaan STPM itu, Tengku Nofazila yang belajar di kelas Pra-U Atas Terbilang mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, dan Ekonomi.




CATATAN SEJARAH DALAM KEPUTUSAN STPM

PELAJAR sesi pengajian 2014 mencatat sejarah manis dalam album keputusan STPM apabila Tengku Nofazila binti Tengku Saharudin muncul sebagai pelajar ulung meraih 4A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0.


Kecemerlangan Tengku Nofazila diumumkan di Sekolah Menengah Agama Atas Zainal Abidin (SMAAZA), Kuala Terengganu hari ini, dan membariskannya bersama dengan 11 orang pelajar lain dari seluruh negeri Terengganu yang mencatatkan kejayaan yang serupa, malahan dia menjadi calon tunggal dari daerah Dungun yang memperoleh kejayaan itu bagi sesi 2014.

Sementara itu di SMK Sultan Omar, 15 orang pelajar mendapatkan slip keputusan masing-masing daripada Guru Projek Kecemerlangan STPM, Puan Robiah binti Husain. Walaupun calon STPM sekolah ini seramai 43 orang, calon-calon lain belum menerima slip keputusan kerana menunggu keputusan peperiksaan Ulangan Penggal 3 yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Selain Tengku Nofazila dengan pencapaian 4.0, 11 orang rakannya pula memperoleh PNGK 3.0 ke atas. Mereka ialah Mohamad Nadzir bin Mohammad (3.67), Nur Aisyah binti Mohamad Depawali (3.67), Mastura binti Bakar (3.50), Ainaa Shahirah binti Asmadi (3.42), Athira Najwa binti Zakaria (3.42), Nor Hasyimah binti Yusof (3.42), Faziera binti Jasni (3.25), Nor Shahira binti Mohd Nor Ilah (3.25), Ahmad Fakhruddin bin Mohammad (3.17), Nurfaziatul Nadhirah binti Rozak (3.17), dan  Shahira binti Yusof (3.00).

PNGK tersebut belum mengambil kira keputusan peperiksaan Ulangan Penggal 3 yang akan diduduki oleh beberapa orang daripada mereka pada minggu hadapan.

SMK Sultan Omar memperoleh gred purata 2.58, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.99 mata berbanding dengan keputusan 2013.