SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG PRA-U SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU - TARIKH KEMAS KINI: 30 JANUARI 2019 - 10:20 MALAM SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SEMESTER 3, ULANGAN SEMESTER 1, ULANGAN SEMESTER 2, DAN SEMESTER 1. SELAMAT BERJAYA.

WARGA PRAUNIVERSITI 2017

banner

Khamis, 29 Januari 2015

KHIDMAT SISWA BEKAS PRA-U SMKSO

BEBERAPA orang siswa universiti tempatan yang sedang bercuti memberikan khidmat motivasi sukarela kepada pelajar Pra-U pada hari ini, bermula 7:40 pagi hingga 2:00 petang.


Tempoh tersebut diisi dengan slot Pengurusan Masa yang Berkualiti (9:00 - 9:30 pagi ), Akhlak Islamiah sebagai Mukmin Sejati (9:30 - 10:00 pagi), Ciri-ciri Orang yang Berjaya (10:00 - 10:30 pagi), Matlamat Kehidupan (10:30 - 11:00 pagi), dan Mentor Menti (11:30 pagi - 1:00 tengah hari).

Semua pelajar Pra-U yang sedang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran penggal 2 mengikuti program tersebut.

Semua siswa universiti tempatan itu merupakan pelajar Pra-U di sekolah ini pada tahun 2013 hingga 2014.



Rabu, 28 Januari 2015

TENGKU NOFAZILA PELAJAR TERBAIK STPM PENGGAL 3 2014

PELAJAR Pra-U Atas Terbilang, Tengku Nofazila binti Tengku Saharudin muncul sebagai pelajar terbaik peperiksaan STPM Penggal 3 2014 dengan perolehan merit 3.92 apabila berjaya mendapat keputusan 3A dan 1A- dalam keputusan yang diumumkan melalui portal Majlis Peperiksaan Malaysia hari ini.



Selain Tengku Nofazila, tujuh orang pelajar lain turut memperoleh 3.00 ke atas, iaitu Ahmad Fakhruddin bin Mohamad (Pra-U Atas Gemilang) dengan 3.67 (2A, 1A-, 1B), Muhamad Nadzir bim Mohamad (Pra-U Atas Terbilang) dengan 3.42 (2A, 1A-, 1C), Athira Najwa binti Zakaria (Pra-U Atas Terbilang) dengan 3.33 (3A, 1D+), Nur Aisyah binti Mohamad Depawali (Pra-U Atas Terbilang) dengan 3.25 (2A, 1A-, 1D+), Noor Hashimah binti Yusof (Pra-U Atas Gemilang) dengan 3.25 (2A, 1B-, 1C+), Nurfaziatul Nadhirah binti Rozak (Pra-U Atas Cemerlang) dengan 3.00 (1A, 1B+, 1B-, 1C), dan Mastura binti Bakar (Pra-U Atas Terbilang) dengan 3.00 (2A, 1B-, 1D+).

Sejumlah 43 orang pelajar Pra-U Atas 2014 menduduki peperiksaan STPM Penggal 3 pada bulan November 2014.

Keputusan keseluruhan bagi STPM 2014 dijangka akan dikeluarkan oleh Majlis Peperksaan Malaysia pada 2 Mac 2015.

Selasa, 13 Januari 2015

GURU MENGIKUTI TAKLIMAT PELAKSANAAN KERJA KURSUS PENGGAL 2

GURU Pra-U yang mengajarkan mata pelajaran STPM Penggal 2 yang terlibat dengan kerja kursus diberikan taklimat tentang pelaksanaan terkini kerja kursus.

Guru yang terlibat ialah Encik Mazlan bin Mohd dan Puan Asniyati binti Ariffin bagi mata pelajaran Pengajian Am yang mengikuti taklimat di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun Lama pada 12 hingga 13 Januari 2015, Encik Suhaimi bin Mohd Salleh, Puan Hajah Rosnah binti Hashim dan Puan Hajah Norpishah binti Shafiee bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun Lama pada 14 hingga 15 Januari 2015, serta Puan Robiah binti Husain dan Puan Azliatul Akma binti Othman bagi mata pelajaran Sejarah di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu di Marang pada 14 hingga 15 Januari 2015.

Sementara itu, Tuan Haji Md Rahim bin Yahaya, Ketua Bidang Bahasa Melayu merupakan Jurulatih Utama Bahasa Melayu Negeri bertanggungjawab untuk menyampaikan taklimat bagi mata pelajaran tersebut kepada semua guru Bahasa Melayu di Terengganu yang bermula pada 12 Januari 2015 di Setiu.

Pelaksanaan kerja kursus bagi ketiga-tiga mata pelajaran akan bermula pada minggu hadapan dan pelajar harus menyiapkan tugasan masing-masing selewat-lewatnya pada pertengahan bulan April untuk diperiksa oleh guru, dan markah akan dihantar kepada Majlis Peperiksaan Malaysia melalui dalam talian selewat-lewatnya pada pertengahan Mei.

Ahad, 11 Januari 2015

YANG BAHARU DI PRA-U PADA HARI PERTAMA SESI 2015

HARI pertama persekolahan penggal 2 bagi Pra-U SMK Sultan Omar memperlihatkan kelainan apabila pelajarnya tidak lagi memakai uniform sekolah, sebaliknya berpakaian kasual.


Selain itu, mulai hari ini juga Pra-U sekolah ini menerima guru baharu sebagai pengganti ketiga-tiganya. Guru yang dimaksudkan ialah Puan Rosni binti Ibrahim dan Puan Asniyati binti Ariffin dari SMK Tengku Intan Zaharah, dan Puan Akma binti Othman dari SMK Ketengah Jaya.

Puan Rosni ialah Guru Akademik MUET menggantikan Puan Rozana binti Mohamed Hasan, Puan Asniyati Guru Akademik Pengajian Am menggantikan Puan Hajah Razifah binti Abdul Ghani, dan Puan Akma Guru Akademik Sejarah menggantikan Encik Mohd Marzuki bin Mat Jusoh.

Puan Asniyati, Puan Rosni dan Puan Akma

Isnin, 5 Januari 2015

TIGA ORANG GURU PRA-U BERTUKAR SEKOLAH

TIGA orang Guru Akademik Tingkatan 6 SMK Sultan Omar bertukar sekolah mulai awal sesi penggal dua persekolahan tahun ini. Inilah pertukaran pertama yang melibatkan guru prauniversiti sekolah ini semenjak pelantikan Guru Akademik Tingkatan 6 diperkenalkan.

Guru yang bertukar ialah Encik Mohd Marzuki bin Mat Jusoh, Guru Akademik Sejarah bertukar ke SMK Ketengah Jaya, Dungun serta Puan Hajah Razifah binti Abd Ghani, Guru Akademik Pengajian Am, dan Puan Rozana binti Mohamed Hasan, Guru Akademik MUET ke SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun.
Ketiga-tiganya hadir Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan mendapat taklimat daripada Pegawai Pendidikan Daerah Dungun pada pagi ini.


Ahad, 4 Januari 2015

PRA-U SMKSO DIPERKASAKAN...

MULAI 2015, pengurusan SMKSO mengorak langkah untuk memperkasakan pendidikan prauniversiti demi meningkatkan pencapaian pelajar. Pemerkasaan tersebut selaras dengan pelan transformasi prauniversiti seperti diperuntukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.



Pelajar Pra-U Atas akan mula berpakaian kasual yang sopan seperti garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Pelajar-pelajar akan dikenali dengan pemakaian kad pelajar sepanjang masa berada di kawasan sekolah.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, pihak sekolah menyediakan dua buah bilik kuliah dan sebuah bilik guru, selain kemudahan enam buah bilik darjah dan sebuah bilik tayangan yang sedia ada. Penyediaan bilik kuliah tersebut diusahakan semasa cuti penggal akhir tahun lalu.

Beberapa orang bekas pelajar Pra-U sesi 2014 turut memberikan bantuan dengan mengecat dan menceriakan bilik kuliah di bawah seliaan Encik Mohd Marzuki bin Mat Jusoh.

Pelajar Pra-U akan memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran penggal kedua mulai 11 Januari ini. Pada penggal ini, pelajar akan terlibat dengan sesi kerja kursus dan kertas kajian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Am.

Sebuah bilik kuliah yang sedang dalam penyiapan